Allahyaraham Tun Hussein bin Dato' Onn
Allahyaraham Tun
Hussein bin Dato' Onn dilahirkan pada 12 Februari 1922 dan beliau menghembuskan
nafas terakhirnya pada 29 Mei 1990. Beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia
ketiga yang berkhidmat dari tahun 1976 sehingga 1981. Beliau diperlihatkan
sebagai seorang yang amat ikhlas dalam perjuangan untuk mencapai perpaduan kaum
dan mempunyai reputasi untuk bertindak keras kepada sesiapa yang mencuba
membangkitkan kekacauan perkauman di dalam negara. Oleh sebab usahanya dalam
pemupukan perpaduan di kalangan masyarakat Malaysia, Tun Hussein Onn telah
dikenang sebagai "Bapa Perpaduan".
SEJARAH HIDUP
Masa muda
Dilahirkan di Johor Bahru, Hussein Onn adalah anakanda kepada Dato' Onn Jaafar
yang menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada tahun 1946.
Bondanya Datin Halimah Hussein.
Hussein Onn menerima pendidikan awalnya di Singapura dan di English College (kini
digelar "Maktab Sultan Abu Bakar"), Johor Bahru. Selepas persekolahannya,
Hussein Onn menyertai Pasukan Tentera Johor sebagai kadet pada tahun 1940.
Setahun kemudian, beliau dihantar ke Maktab Tentera Sandhurst di Dehradun,
India. Selepas ditauliahkan, beliau menyertai Regimen Hyderabad (Tentera India)
dan berkhidmat di Timur Tengah sewaktu peperangan. Selepas peperangan, kerajaan
British melantik Hussein Onn sebagai pengajar di "Pusat Perekrutan dan Latihan
Polis Malaya" di Rawalpindi.
Hussein Onn pulang ke Malaysia pada 1945 dan dilantik sebagai Komandan Depot
Polis Johor Bahru. Pada tahun berikut, beliau menyertai Perkhidmatan Awam Malaya
sebagai Penolong Pegawai Pentadbir di Segamat, Johor. Hussein Onn kemudian
ditugaskan untuk bekerja di negeri Selangor, di mana beliau menjadi pegawai
daerah untuk Klang dan Kuala Selangor.
KEBANGKITAN UNTUK BERKUASA
Hussein Onn kembali ke politik untuk menyertai UMNO pada tahun
1968 selepas dipujuk oleh Tun Abdul Razak, Perdana Menteri ketika itu. Beliau
bertanding dan menang dalam pilihan raya umum pada tahun 1969 dan dilantik
sebagai Menteri Pelajaran.
Kenaikan pangkatnya yang pantas itu berterusan sewaktu beliau mewarisi Tun Dr
Ismail yang meninggal dunia pada 2 Ogos 1973 sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Pada 15 Januari 1976, Hussein Onn dilantik menjadi Perdana Menteri Malaysia yang
ketiga selepas kematian Tun Abdul Razak. [1]
Hussein Onn termasyhur dalam penegasannya terhadap persoalan perpaduan melalui
dasar-dasar yang bertujuan semata-mata untuk membetulkan ketidakseimbangan
ekonomi antara kaum masyarakat. Ketika menjadi Perdana Menteri, beliau
meneruskan agenda pembangunan Allahyaraham Tun Abdul Razak; usahanya dalam
memajukan Malaysia tidak pernah lari dari sasaran Dasar Ekonomi Baru. Hussein
Onn sentiasa mencuba meningkatkan taraf hidup kaum Melayu yang agak ketinggalan
jika dibandingkan dengan kaum-kaum lain pada waktu itu. Dengan itu, pada 20
April 1981, beliau melancarkan Skim Amanah Saham Nasional yang merupakan satu
dana amanah bumiputera yang bertujuan untuk meningkatkan ekuiti bumiputera dalam
ekonomi negara.
Hussein Onn juga memberi penekanan kepada konsep Rukun Tetangga dan perjuangan
terhadap ancaman dadah. Di bawah pentadbirannya, angkatan bersenjata Malaysia
juga diperbesar dan dipermodenkan kerana penewasan Vietnam Selatan oleh pihak
komunis yang menggemparkan seluruh rantau Asia Tenggara.
Hussein Onn menjalani pintasan koronari pada awal 1981. Pada 17 Julai dalam
tahun itu, beliau bersara daripada politik aktif dan meletakkan jawatannya
sebagai Perdana Menteri atas sebab-sebab kesihatan. Jawatan Perdana Menteri
diambil alih oleh timbalannya, Mahathir bin Mohamad. Disebabkan perkhidmatannya
kepada negara, Hussein Onn dikurniakan dengan gelaran "Tun" yang merupakan
anugerah diraja yang tertinggi di Malaysia.
SELEPAS PERSARAAN
Selepas persaraannya sebagai Perdana Menteri, Tun Hussein meneruskan
sumbangannya kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Beliau bermain peranan yang
utama dalam pertubuhan Hospital Mata Tun Hussein Onn. Tun Hussein juga menjadi
Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) dan penasihat kepada
Petronas.
Sewaktu krisis kepimpinan UMNO berlaku pada tahun 1987, hubungan Tun Hussein
dengan Dr. Mahathir menjadi buruk, dan beliau menyokong 'Team B' bersama-sama
dengan Tunku Abdul Rahman. Mulai dari masa itu, Tun Hussein dan Tunku menjadi
pengkritik yang kuat terhadap pentadbiran Mahathir.
Tun Hussein menghembuskan nafas terakhir pada hari Selasa, 29 Mei 1990, sewaktu
berumur 68 tahun di Pusat Perubatan Seaton, San Francisco, Amerika Syarikat
kerana serangan sakit jantung, dan disemadikan pada hari Jumaat di Makam
Pahlawan, Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Tun Hussein mempunyai dua anak lelaki dan empat anak perempuan. Isterinya Toh
Puan Suhaila Tan Sri Haji Mohd Noah. Pada 30 Mac 2004, anak lelakinya, Dato'
Seri Hishammuddin Bin Tun Hussein, menjadi Menteri Pelajaran Malaysia.
Sebaliknya, anak perempuan sulungnya, Datin Roqiyah Hanim, meninggal di Kuala
Lumpur pada 17 September 2005 sewaktu berumur 56, kerana menghidap penyakit
barah payu dara.
GARIS MASA
1922: Dilahirkan di Johor Bahru pada 12 Februari.
1942: Terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestin dan Iraq.
1945: Pulang ke tanah air dan dilantik sebagai Komandan Polis Johor Bahru.
1946: Menyertai ayahandanya dalam bidang politik apabila Dato’ Onn bin Jaafar menubuhkan Pergerakan Melayu
Johor Semenanjung dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO.
1950: Dilantik sebagai Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang pertama; juga dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat
Persekutuan disamping menduduki Majlis Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor.
1951: Menyertai ayahandanya keluar dari UMNO dan menubuhkan Independent of Malaya Party (IMP) dan kemudiannya
Parti Negara.
1958: Mendapat ijazah undang-undang di Lincoln's Inn, England.
1964: Menyertai UMNO semula atas pelawaan birasnya, Tun Abdul Razak, Yang DiPertua UMNO
1969: Dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertiggi UMNO) pada Jun.
1970: Menjadi Menteri Pelajaran pada September.
1972: Dipilih sebagai Naib Presiden UMNO
1973: Dilantik sebagai pemangku Timbalan Presiden pada 8 Ogos oleh Majlis Tertinggi UMNO berikutan kematian Tun
Dr. Ismail. Juga dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos dan memegang portfolio Menteri
Perdagangan dan Perindustrian.
1976 : Disahkan sebagai pemangku Presiden UMNO berikutan kematian Tun Razak. Menjadi Perdana Menteri Malaysia
yang ketiga pada 15 Januari.
1978: Menang jawatan
Presiden UMNO tanpa bertanding.
1981: Menyatakan hasratnya untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden UMNO sekaligus mengundurkan diri dari
kepimpinan negara. Meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri negara pada Julai 1981 atas sebab kesihatan dan
diambil alih oleh Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.
1990: Pulang ke Rahmatullah pada 29 Mei 1990 di San Francisco, Amerika Syarikat kerana serangan sakit jantung.
Allahyarham disemadikan di Makam Pahlawan Masjid Negara.